
MENURUT penceramah bebas yang juga Penyampai Tafsir Quran di Radio IKIM.FM, Ustaz Zahazan Muhamed, seorang ulama pernah ditanya mengenai soalan 'Apakah cinta itu halal atau haram?
Katanya, antara perkara yang jelas halalnya iaitu seorang suami mencintai isterinya atau isterinya mencintai suaminya dan lelaki yang mencintai wanita pinangannya juga wanita yang dipinang mencintai lelaki yang meminangnya.
Antara perkara yang jelas haramnya iaitu seorang lelaki mencintai perempuan yang bersuami, lalu lelaki itu hatinya asyik memikirkan wanita berkenaan. Hal itu boleh membawa kerosakan rumah tangganya dan kadang-kadang ia boleh menyebabkan terjadinya pengkhianatan suami isteri. "Perkara itu juga, kadang-kadang boleh menimbulkan kekecohan dalam kehidupan wanita itu, menyebabkan fikirannya berserabut, mengganggu hati perasaannya serta menghilangkan ketenangan hidup berumah tangga. "Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w mengancam orang yang bersikap demikian dengan bersabda, "Bukan daripada golongan kami orang yang merosakkan hubungan seorang wanita dengan suaminya." (Riwayat Abu Daud no.2177)," katanya.
Selain itu, Zahazan turut memberi contoh lain iaitu wanita menaruh cinta kepada lelaki lain yang bukan suaminya. Katanya, dalam kes seperti itu, wanita sering terkenang dan sibuk memikirkannya sehingga sanggup berpaling atau tidak mempedulikan suaminya. Situasi berkenaan boleh mendorongnya melakukan hal yang lebih besar yang tidak dihalalkan syarak iaitu berzina dan seumpamanya. Jika tidak berlaku sedemikian pun, ia mungkin boleh menggoncang hati dan jiwa sehingga mengeruhkan hubungan suami isteri. "Sikap sedemikian semata-mata mengikut keinginan hawa nafsu sedangkan hawa nafsu adalah seburuk-buruk yang disembah di muka bumi. "Kesimpulannya, wanita yang sudah bersuami wajib berasa cukup dengan suaminya dan reda kepadanya serta cinta yang sepenuhnya kepada suaminya," katanya.
No comments:
Post a Comment